Perarakan Johan Kenderaan Berhias Peringkat Negeri Terengganu 2015 Cetak
Oleh Administrator   
Ahad, 10 Mei 2015 15:02

8 MEI 2015 – Perarakan sempena kejayaan Daerah Kemaman yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Kenderaan Berhias Peringkat Negeri Terengganu 2015 yang telah berlangsung baru-baru ini, mengelilingi Daerah Kemaman bermula di Padang Astaka.

Pelepasan perarakan berkenaan telah disempurnakan oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kemaman. Perarakan yang bermula pada jam 9.00 malam bermula di Padang Astaka melalui hadapan Hospital Kemaman, Bomba Taman Chukai, hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai, Kg Bukit Mentok, Kg Batu 2 ½, dan berakhir di Padang Astaka.

 

Turut menyertai perarakan, konvoi dari Kelab Basikal Belia Daerah Kemaman dan dimeriahkan dengan kehadiran 3000 pengunjung yang sama-sama menyaksikan perarakan berkenaan.

Terdahulu, Daerah Kemaman telah mencipta kenangan manis apabila berjaya menjuarai pertandingan kenderaan berhias yang diadakan di Taman Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-53 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu mengalahkan 13 kenderaan berhias lain dari seluruh daerah Negeri Terengganu dan membawa pulang hadiah lumayan wang tunai berjumlah RM 20,000 beserta sijil.

Sesuai dengan Daerah Kemaman yang terkenal dengan sektor perindustrian, kenderaan berhias Daerah Kemaman ini menampilkan rekaan yang berkonsepkan industri berat di samping perhiasan bunga sebagai lambang budaya dan alam semulajadi.

Ketua pasukan Kemaman yang juga yang DiPertua Majlis Daerah Kemaman, Mohd Zulkifli Abu Bakar berkata, kejayaan ini merupakan hasil dari sokongan 20 kakitangan terlibat yang bertungkus lumus selama empat hari selain membelanjakan RM40,000 untuk menyiapkan konsep yang digariskan pihak penganjur.

 

DiKemaskini Pada Isnin, 11 Mei 2015 12:12
Jumlah Capaian Ke Laman ini :3239 kali.