Dr. Zakir Naik di Kemaman Cetak
Oleh PDK   
Ahad, 01 Mei 2016 12:59

14 April 2016 – Siri terakhir jelajah Program ‘Dr. Zakir Naik Terengganu Tour’ melabuhkan tirai di Padang Astaka Kemaman dengan penuh jayanya dengan kehadiran lebih 40,000 hadirin. Orang ramai tanpa mengira fahaman politik termasuk juga dari kalangan bukan Islam tiba seawal jam 8.00 malam semata-mata mahu mendengar dan menyaksikan sendiri ceramah disampaikan Dr Zakir.

Program yang bermula pada pukul 9.00 malam telah berlangsung selama hampir empat jam dengan tajuk “Muslim’s Choice – Da’wah or Destruction” (Pilihan Muslim – Dakwah Atau Kemusnahan) dan dimoderatkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Berkisarkan tajuk tersebut, Dr Zakir Naik menekankan beberapa kali di dalam ucapannya agar umat Islam seharusnya menyampaikan pesanan ataupun berdakwah.

Dalam sesi soal jawab, salah seorang pelajar dari sebuah institut pengajian tinggi swasta di Kemaman, Woo Nina Grace, 19, menunjukkan minatnya dalam Islam apabila menceritakan pengalamannya kepada intelektual Islam tersebut.

Menurut Nina, dia mula membaca surah dalam Al-quran iaitu Al-fatihah dan tiga Kul sejak di tingkatan satu lagi. Ketika ditanya Dr Zakir adakah dia percaya kepada Jesus, dengan penuh yakin remaja itu mengatakan tidak sambil menyatakan kepercayaannya kepada Nabi Muhammad.

Kesediaan Nina untuk bergelar saudara baru bermula sebaik sahaja dia menjawab Insya Allah kepada persoalan Zakir untuk melafazkan kalimah itu.

Turut hadir pada program tersebut Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif bin Abd Rahman serta isteri, To’ Puan Seri Halina binti Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Ir. Rosli Othman dan Pegawai Daerah Kemaman, Rosman Roslan.

 

DiKemaskini Pada Selasa, 03 Mei 2016 12:31
Jumlah Capaian Ke Laman ini :1789 kali.